Tiga Sahabat AF
Thursday, 15 December 2011 | 20:22 | 0 SMART BLOGGIES
Hubungan erat tiga sahabat sejak sama-sama berada dalam AF7 terus kekal hingga hari ini
BUKAN mudah menggabungkan mereka ini yang masing-masing sudah mempunyai komitmen sendiri.
Hafiz, juara Akademi Fantasi musim ke-7 (AF7), yang baru saja memenangi tempat ketiga dan Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-25 bulan lalu, baru-baru ini masih merasai kesakitan akibat daripada kemalangan jalan raya yang menimpanya beberapa hari sebelum berlangsungnya anugerah itu.
Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga AF7, Aril dan Akim baru saja selesai dengan penggambaran drama terbitan Astro, Kau dan Aku.
Kesibukan itu sebenarnya adalah rahmat bagi mereka. Sama ada Hafiz, mahupun Akim dan Aril, masing-masing meluahkan rasa bersyukur kerana walaupun AF sudah tamat dua tahun lalu, hubungan persahabatan mereka masih rapat.
Mungkin orang di luar tidak nampak akan kemesraan mereka, namun ketika disatukan di dalam satu sesi fotografi di studio Hip ini jelas tampak kesenangan serta betapa mereka saling bantu-membantu.
Tiga rakan karib yang dilihat begitu mesra di antara satu sama lain ini berkongsi kegembiraan serta meluahkan rasa bangga mereka dengan kemenangan Hafiz di AJL25.
Malah semasa persembahan gimik Hafiz pada AJL25 lalu, Aril dan Akim turut sama-sama terbabit memberikan sokongan bagi menjayakannya sekali gus membuktikan bahawa mereka mempunyai hubungan yang akrab.
Elemen populariti diakui kadang-kadang menjarakkan mereka di antara satu sama lain, namun itu sebenarnya bukan penghalang untuk mereka terus maju di samping sokongan sesama sendiri.
Isu iri hati tidak wujud malah mereka berbangga sekiranya seorang daripada mereka lebih berjaya di dalam profesion yang diceburinya.
“Kemenangan Hafiz bukannya suatu yang perlu cemburu tetapi sememangnya kami tumpang bangga. Saya tidak mengejar apa-apa anugerah. Biarlah anugerah itu akan datang sendiri, dan semuanya dari Tuhan.
“Persaingan memang ada antara kami tapi kami terapkan persaingan secara sihat dan menyokong antara satu sama lain walaupun ada yang lebih berjaya,” kata Akim, yang termuda di antara mereka bertiga.
Melihat pada kejayaan Hafiz , Akim, 20, sedikit pun tidak rasa tergugat dan sebaliknya berbangga dengan pencapaian rakan baiknya itu serta menyatakan bahawa masing-masing mempunyai komitmen sendiri.
Dia yang baru saja selesai menyiapkan studio sendiri ini, sekarang sibuk mencipta lagu untuk album solonya yang dirancang akan keluar dalam tahun ini serta memuatkan hasil ciptaan dari komposer seperti Pacai dan Rudy Mohd.
Selepas hit dengan lagu Inilah Cinta, yang pernah menjadi lagu tema untuk iklan komersil ais krim, dan Bengang yang pernah memenangi Anugerah Muat Turun Nada Dering Tertinggi Hotlink 2010, Akim kini muncul dengan lagu baru.
Akim atau nama sebenarnya Afiq Akim Ahmad kini sedang giat mempromosikan lagu single terbarunya ‘Janji’, yang berkisarkan mengenai setia ini adalah ciptaan penuhnya dirinya.
Pemuda berbakat ini turut menyanyikan lima lagu untuk telefilem bertajuk 7 lagu. Akim juga baru mengikat kontrak bersama Hotlink sebagai Selebriti Hotlink bersama Tomok. Penyanyi muda ini turut menyimpan cita-cita menjadi pelakon filem bagi melengkapkan profilnya.
Impian sama
TERNYATA cita-cita Akim itu mendapat sokongan daripada Aril. Katanya, mereka mempunyai impian yang sama untuk berjaya dalam bidang seni, tidak kira dalam muzik atau lakonan.
“Sebagai seorang artis yang lengkap, saya bersedia dengan tawaran berlakon dan saya juga akan mengeluarkan sebuah album solo yang kini sedang di dalam perancangan selain mengacarakan Trek Selebriti,” katanya.
Aril, 26, hos Trek Selebriti ini, sibuk dengan aktiviti penggambaran rancangan itu yang diadakan empat hari dalam seminggu. Sepanjang mengendalikan program itu, seboleh-bolehnya mahu mengelakkan diri daripada disamakan dengan Jimmy Shanley, bekas hos rancangan itu kerana dia mempunyai personaliti serta pendekatan yang tersendiri.
Mengenai nyanyian, Aril atau Khairil Azam Pilus, berkata dia bakal mengeluarkan lagu single terbarunya berjudul Anugerah. Lagu itu dihasilkannya sendiri bersama-sama dengan Rudy Mohd. Malahan dia juga bertindak sebagai penulis lirik lagu Anugerah.
Aril yang juga popular dengan lagu Toksid dan Menatap Matamu juga pernah membintangi drama bertajuk ‘Shuffle Milikku’ serta pernah muncul di dalam drama Geng Bas Sekolah serta meminjamkan suaranya untuk filem kartun ‘Surf-Up’.
Hos Trek Selebriti kelahiran Johor Bahru ini juga ada merakamkan ‘soundtrack’ filem ‘Tolong Awek Aku Pontianak.
Sokongan kawan tetap diperlukan
Sama seperti dua rakannya itu, Hafiz juga sibuk dengan projeknya sendiri iaitu melancarkan lagu terbaru berjudul Awan Nano yang liriknya ditulis Budi Hidayat, manakala M Nasir sebagai komposer.
Hafiz atau Mohd Hafiz Mohd Suip, 21, turut mempunyai perniagaannya sendiri iaitu menjual minyak wangi, pakaian serta pelbagai lagi secara kecil-kecilan yang boleh didapati di laman web Hafizsuip.com.
Hafiz yang popular dengan lagu ‘Masih Jelas’ ini juga akan mengeluarkan album solonya yang masih di dalam perancangan. Selain mempunyai jadual padat, Hafiz berkata, kalau ada kelapangan dia meluangkan masa lapangnya melepak bersama Aril dan Akim.
Dia juga mengakui hubungan Aril dan Akim memang akrab lalu tidak pernah timbul rasa ingin ‘bunuh membunuh’ di antara satu sama lain, dan sememangnya dari dalam AF lagi mereka sudah mulai rapat, malah kemenangannya turut dikongsi bersama.
“Trofi kemenangan Hafiz bukan sepenuhnya milik Hafiz, tapi kejayaan ini juga hasil daripada sokongan rakan-rakan, peminat dan keluarga saya sendiri.
“ Hafiz amat berterima kasih kepada para peminat yang selama ini tidak jemu menyokong Hafiz dan mereka adalah individu terpenting serta tulang belakang kepada kejayaan Hafiz sekarang,” ujar Hafiz, anak kelahiran Sarawak ini.
Dia juga menyimpan hasrat membeli rumahnya sendiri dan membawa ahli keluarganya di Sarawak untuk menetap di Kuala Lumpur dengan harapan tidak lagi berjauhan dengan pihak yang selama ini menjadi tunggak kepada kejayaannya.